Mengetahui sebab-sebab dan kesan-kesan inflasi dan belajar bagaimana mengatasinya.
Kira-kira 30 tahun yang lalu, sepinggan nasi lemak berharga kurang daripada RM1. Hari ini, ia telah naik sehingga RM5, jadi jangan terkejut untuk membayar lebih dari RM10 untuk sarapan pagi anda dalam dekad yang akan datang!
Ini hanyalah akibat inflasi! Seperti kuasa kadar pulangan berganda, inflasi berganda boleh memberi kesan buruk pada taraf hidup anda sekiranya ia tidak diawasi. Namun begitu, apakah sebab-sebab fenomena ini dan bagaimanakah kita boleh mengatasinya ?
Apakah Inflasi ?
Inflasi ditakrifkan sebagai peningkatan beransur-ansur dalam paras harga umum untuk produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan, dan ia diukur sebagai peningkatan dalam peratusan tahunan. Sekiranya inflasi menaik, setiap ringgit yang anda miliki akan membeli peratus yang lebih kecil bagi sesuatu produk atau perkhidmatan.
Dengan kata lain, terdapat kemerosotan dalam kuasa membeli anda. Sebagai contoh, dari segi teori secawan teh tarik berharga RM1 akan berharga RM1.05 selepas setahun jika kadar inflasi bagi tempoh itu ialah 5 peratus.
Apakah Indeks Harga Pengguna (IHP) ?
Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur perubahan peratusan dalam kos bagi sekumpulan pengguna khusus (60% bandar, 40% luar bandar) untuk membeli satu “bakul” yang mengandungi barangan dan perkhidmatan yang tetap dalam tempoh masa tertentu. Barang-barang yang terdapat di dalam “bakul” tersebut boleh dikumpulkan kepada berikut:
- Makanan dan minuman tidak beralkohol
- Minuman beralkohol dan tembakau
- Pakaian dan kasut
- Perumahan, bekalan air, bekalan elektrik, gas dan bahan api lain
- Perabot, peralatan isirumah, rutin penyenggaraan isirumah
- Kesihatan
- Pengangkutan
- Komunikasi
- Perkhidmatan-perkhidmatan rekreasi dan budaya
- Pendidikan
- Restoran-restoran dan hotel-hotel
- Pelbagai barangan dan perkhidmatan lain
Bagaimanapun, anda harus mengetahui bahawa IHP adalah purata statistik dan mungkin tidak menggambarkan kadar inflasi anda, terutamanya apabila corak perbelanjaan anda banyak berbeza daripada pengguna-pengguna bandar biasa. pada kebanyakan masa, kadar inflasi pada peringkat peribadi atau pengguna untuk penduduk-penduduk bandar adalah dua kali atau lebih tinggi daripada kadar inflasi peringkat kebangsaan.
Apakah Sebab-sebab Berlakunya Inflasi ?
Dua sebab umum berlakunya inflasi adalah:
1) Permintaan tinggi, bekalan rendah
Jikalau permintaan meningkat lebih cepat daripada bekalan produk dan perkhidmatan, harga barangan terpaksa naik. Juga dikenali sebagai inflasi tarikan-permintaan, ia biasanya berlaku di ekonomi bertumbuh di mana terdapat “terlalu banyak wang mengejar terlalu sikit barangan”.
2) Peningkatan dalam kos pengeluaran
Apabila harga bahan mentah naik, kos pengeluaran akan meningkat. Ini akan mengakibatkan syarikat-syarikat menaikkan harga untuk mengekalkan margin keuntungan. Ini juga berlaku apabila pekerja-pekerja meminta gaji yang lebih tinggi kerana syarikat-syarikat biasanya memindah kos-kos ini kepada pengguna-pengguna.
Apakah Kesan-kesan Inflasi ?
Inflasi boleh dianggap sebagai perkembangan ekonomi yang biasa selagi peratusan tahunan masih rendah. Namun begitu, inflasi boleh menyebabkan krisis apabila peratusan itu meningkat lebih tinggi daripada peringkat yang telah ditetapkan. Cara yang paling nyata ia menjejaskan kewangan peribadi anda adalah dengan mengurangkan kuasa membeli anda. Anda akan mendapati harga produk dan perkhidmatan setiap hari meningkat dan kos pinjaman menjadi lebih tinggi kerana kadar faedah turut menaik.
Contoh:
- Pada tahun 1978 (30 tahun dahulu), RM300 boleh membeli barangan runcit satu bulan untuk keluarga berempat orang.
- Pada tahun 2008, RM300 boleh membeli barangan runcit satu minggu untuk keluarga berempat orang.
- Pada tahun 2028 (20 tahun kemudian), RM300 mungkin hanya boleh membeli barangan runcit dua hari untuk keluarga berempat orang.
Dengan memahami perbezaan di antara pulangan nominal dan pulangan benar, anda akan dapat melihat kesan inflasi pada wang anda. Pulangan nominal merujuk kepada kadar pertumbuhan wang anda manakala pulangan nominal menolak kadar inflasi. Oleh demikian, wang yang disimpan di dalam simpanan tetap akan mengurang nilainya disebabkan kesan penghakisan inflasi.
Contoh:
- Kadar inflasi tetap 12 bulan = 4%
- Kadar inflasi (peringkat peribadi) = 6%
- Pulangan benar daripada pelaburan = 4% – 6% = -2%
Setelah mengetahui bagaimana inflasi boleh mengurangkan kuasa membeli anda dengan drastik, pelabur-pelabur harus mempertimbangkan cara-cara melindungi pelaburan mereka daripada kesan-kesan penghakisan inflasi. Berikut adalah beberapa cara bagaimana anda boleh mengurangkan kesan-kesan inflasi:
1) Mendapat pulangan yang lebih tinggi daripada pelaburan-pelaburan anda
Untuk melindungi simpanan anda daripada kesan inflasi bagi jangka masa panjang, pilihan terbaik adalah dengan mendapat pulangan pelaburan yang lebih tinggi daripada kadar inflasi. Ekuiti-ekuiti dan dana-dana ekuiti serta saham-saham yang memberi dividen tinggi harus dipertimbangkan kerana mereka boleh mengurangkan kesan-kesan inflasi.
2) Mengekalkan kepelbagaian dalam pelaburan-pelaburan anda.
Sebuah portfolio seimbang yang mengandungi saham-saham, bon-bon dan sekuriti-sekuriti pasaran wang dapat mengurangkan risiko dan memberi perlindungan terhadap inflasi. Ini disebabkan nilai sejenis pelaburan mungkin akan menaik sementara pelaburan-pelaburan lain menurun. Namun begitu, kepelbagaian tidak dapat melindungi anda daripada kerugian dalam pasaran menurun.
3) Mengurangkan pemegangan wang tunai yang banyak.
Walaupun anda mendapat kecairan dengan memegang wang di tangan atau menyimpankannya di dalam simpanan tetap, wang tersebut mungkin akan mengurang nilainya melalui inflasi. Sebaliknya, pelabur-pelabur berisiko rendah boleh membuat pertimbangan untuk memindahkan wang mereka ke sebuah portfolio seimbang (terdiri daripada 60 peratus ekuiti dan 40 peratus bon) untuk mendapatkan pulangan diselaraskan inflasi yang baik bagi tempoh sederhana hingga panjang.
4) Melabur di dalam sektor-sektor yang berdaya tahan.
Semasa keadaan pasaran yang tidak menentu, pelabur-pelabur boleh melabur dalam sektor-sektor berdaya tahan dan saham-saham mewah sebagai perlindungan terhadap inflasi. Sektor-sektor ini termasuk telekomunikasi, utiliti dan pengangkutan. Emas juga diibaratkan sebagai tempat perlindungan selamat dalam ketidakstabilan kewangan atau semasa inflasi menaik.
5) Menguruskan hutang anda.
Mengurangkan hutang anda ke tahap minima amat bermakna kerana kadar faedah menaik seiring dengan inflasi. Anda sepatutnya membayar habis pinjaman yang mempunyai kadar faedah yang paling tinggi dengan secepat mungkin, terutamanya apabila kadar faedah sedang meningkat.
“Inflasi adalah percukaian tanpa perundangan”
~ Milton Friedman ~
~ Milton Friedman ~
No comments:
Post a Comment